Monday, February 9, 2009

Jae-hyung tak letak sasaran di Bangkok

Oleh Hasnira Hassan
niera@nstp.com.my


NOR Aziera antara pemanah wanita jadi negara di Bangkok. Gambar kecil, Muhd Marbawi.

Janji aksi terbaik di GP Asia Prpertandingan

ANDAI boleh, pastinya pingat emas dalam acara berpasukan lelaki tahun lalu ingin dikekalkan menjelang Grand Prix Asia pertama di Bangkok bermula 19 hingga 23 Februari ini, namun realitinya jurulatih kebangsaan, Lee Jae-hyung lebih gemar mengambil sikap tunggu dan lihat.

Baginya, sukar meletak sasaran tinggi selepas kebanyakan anak buahnya kemarau saingan antarabangsa selepas kali terakhir trio utama - Muhd Marbawi Sulaiman, Cheng Chu Sian dan Wan Mohd Khalmizam Abd Aziz - beraksi di Sukan Olimpik Beijing, Ogos tahun lalu.

Walaupun Chu Sian sempat menyertai skuad negara yang menyumbang lima pingat emas pada Sukan Universiti Asean akhir tahun lalu, selain penyertaan pemanah muda pada Festival Olimpik Remaja Australia (AYOF), awal bulan ini, namun ia tidak cukup untuk dijadikan ukuran keupayaan sebenar skuad negara.

Malah, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu lebih gemar menetapkan sasaran `selamat’ iaitu layak ke perlawanan akhir buat skuad lelaki manakala separuh akhir buat wanita.

Itu pun Jae-hyung masih belum mencapai kata putus akhir berhubung percaturan pemanah yang bakal menggalas tanggungjawab mempertahankan emas dalam acara berpasukan lelaki.

“Siapa pemanahnya hanya akan ditentukan di Bangkok nanti. Kami perlu melihat keadaan dan suasana persaingan di sana. Biarpun selalunya Chu Sian dan Marbawi dipilih, tetapi kami belum ada kata putus,” katanya.

Selain trio utama itu, tiga pemanah lelaki lain yang turut menggalas cabaran negara pada Grand Prix Asia di Bangkok ialah Nazrin Aizat Mat Nasir dan muka baru dari skuad pelapis, Mohd Izzuddin Abd Rahman.

Lima pemanah wanita yang disenarai pula membabitkan S Anbarasi, Nor Aziera Taib, Nor Amira Mohamed - yang turut dipertanggungjawabkan menggalas cabaran acara berpasukan - selain Fepriyenita Anuar dan Beatric Wong Zhia.

Ditanya mengenai pencabar utama Malaysia pada saingan pertama itu, Jae-hyung yang menegaskan betapa prestasi skuad negara tidak jauh berbeza berbanding wakil negara lain, mengakui aksi pemanah India, Taiwan dan Jepun perlu diberi perhatian.